Kenyataan Tuan Guru Nik Aziz
Kebenaran Itu Milik Allah, Bukan Di Barat dan Bukan Di Timur
Saya tidak terkejut apabila bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak
dibebaskan daripada penjara oleh Mahkamah Mesir. Inilah tujuan sebenar
rampasan kuasa yang dilakukan oleh tentera. Tidak perlu berlindung di
sebalik alasan ekonomi dan sebagainya. Padahal kezaliman Hosni Mubarak
selama 30 tahun menduduki takhta presiden satu fakta yang tidak boleh
dinafikan sama sekali. Barangkali, Sheikh Al-Azhar yang kuat menyokong
rampasan kuasa tentera pun sudah berpuas hati dengan pembebasan Hosni
Mubarak. Saya menghormati kelilmuan yang ada pada Sheikh Al-Azhar, namun
pendirian beliau dalam hal ini jelas salah seterang cahaya matahari di
siang hari. Pada saya, inilah ujian berat yang sedang dihadapi oleh
gerakan Islam khususnya di Mesir iaitu di saat para pemimpin mereka
disumbat ke dalam penjara manakala penjenayah besar dilepas bebas.
Berpuas hatilah kerajaan Saudi yang kuat menyokong rampasan kuasa
tentera. Benarlah kenyataan bahawa kebenaran itu milik Allah, tidak di
Barat dan tidak Timur. Sekalipun penjaga dua tanah suci dimuliakan Allah
SWT dengan tugas ini, namun belum tentu mereka memegang anak kunci
kebenaran. Di samping menjaga dua tanah Suci, Saudi jugalah yang menjaga
telaga minyak yang menghilangkan haus Amerika sekian lama. Inilah
satu-satunya negara yang dinamakan sempena nama pemerintahnya iaitu Bani
Saud.
Justeru, janganlah Saudi menyangka dengan sokongan
mereka kepada tentera Mesir, mereka boleh mempengaruhi seluruh umat
Islam di dunia. Jika darah Abdullah bin Zubair radhiallahuanhu pernah
tertumpah akibat diperangi oleh Hajjaj bin Yusuf di Tanah Mekah, apa
peliknya darah umat Islam di negara lain tertumpah angkara pemerintah
Saudi hari ini? Jika kabilah Arab Jahiliyyah pun pernah bertugas untuk
menjaga Tanah Suci sebelum kedatangan Islam, apakah jaminan penjaga
Tanah Suci hari ini bebas dari melakukan kesilapan?
Barangkali
sedikit kasar kiasan saya, tetapi ia belum apa-apa jika dibandingkan
dengan sokongan Saudi terhadap tindakan tentera Mesir yang telah
membunuh ribuan rakyat yang tidak berdosa. Saya menyeru kepada jiwa-jiwa
yang telah dimuliakan Allah SWT dengan ilmu agama, janganlah sesekali
cenderung kepada kezaliman agar tidak disambar oleh api neraka.
Hari ini Mesir ditinggalkan 'saudara-saudara'nya, bagaikan Nabi Yusuf
yang pernah dibuang oleh saudara-saudaranya di dalam telaga ribuan tahun
yang lampau. Tetapi Baginda akhirnya diselamatkan dan menjadi penguasa
Mesir. Saya yakin Insya-Allah, Mesir akan keluar dari telaga kezaliman
para tentera dan akan bangkit semula sebagai sebuah bumi yang subur
dengan gerakan Islam.
Pesan saya kepada para hakim yang membebaskan Mubarak sebagaimana pesan ahli sihir yang beriman kepada Firaun :
فَاقْضِ مَا أَنْتَ قَاضٍ إِنَّمَا تَقْضِي هَذِهِ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا
yang bermaksud : Berhukumlah kamu selagi mana kamu boleh berhukum,
sesungguhnya kamu hanya mampu berhukum di dalam kehidupan dunia ini
sahaja... - Surah Toha, ayat 72
Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)
Bertarikh : 13 Syawwal 1434H bersamaan 20 Ogos 2013M